Lenggong atau dikenali sebagai Lembah Lenggong telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 30 Jun 2012. Di Lembah Lenggong tersimpan khazanah peradaban manusia yang tertua di luar benua Afrika. Ia dikatakan bermula sejak zaman Paleolitik atau Zaman Batu Lama lagi, yakni sekitar 1.83 juta tahun yang lalu. Istimewanya tapak ini terdapat tinggalan kebudayaan arkeologi dari Zaman Paleolitik (Zaman Batu Lama), Zaman Neolitik (Zaman Batu Baru) dan juga Zaman Logam. Pengiktirafan ini telah menjadikan Lenggong sebagai salah satu pusat perlancongan pilihan ramai terutama dengan wujudnya Galari Arkeologi Lenggong. Selain itu terdapat juga beberapa tempat menarik yang boleh dikunjungi seperti Lata Kekabu,Nur Lembah Lenggong,Tasek Raban, gua-gua dan sebagainya.