Ikan Pindang Daun Seniar merupakan salah satu makanan warisan masyarakat Perak. Ia sangat digemari. Walau pun masakan ini semakin pupus ditelan masa, namun di Lenggong makanan ini masih boleh didapati. Ikan Pindang Daun Seniar dihasilkan dengan menggunakan ikan sungai yang diperap dengan bahan perapan dan dibalut dengan daun seniar. Ikan yang dibalut dan diikat harus direbus selama 2 atau 3 hari supaya semua bahan yang dibalut sebati dan tulang ikan menjadi lembut. Ikan ini boleh dimakan begitu sahaja atau pun boleh dimasak menggunakan santan.
Selain pelbagai jenis ikan sungai dan daun seniar, bahan perapan yang terdiri daripada serai, daun kesum,bunga kantan, bawang merah, cili padi, asam keping, garam, gula, halia dan lengkuas digunakan bagi menghasilkan ikan pindang daun seniar yang sedap.